Nilai pula kena PKPB

Nilai pula kena PKPB

Keputusan itu dibuat kerana peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Nilai berkuatkuasa 28 Oktober hingga 10 November depan.
PETALING JAYA:
Nilai di Negeri Sembilan akan diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 28 Oktober hingga 10 November depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ia disebabkan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Sidang hari ini turut mendengar pengesahan daripada KKM berhubung kes peningkatan positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di zon Nilai.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan kes di lokaliti ini, sidang khas MKN hari ini bersetuju melaksanakan PKPB di zon Nilai,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, SOP bagi PKPB itu sama seperti diumumkan sebelum ini iaitu antaranya semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Semua aktiviti dan majlis sosial tidak dibenarkan. Aktiviti di masjid dan surau juga tidak dibenarkan kecuali bagi laungan azan dan solat 5 waktu dengan jumlah yang ditentukan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

PKPD di Putra Point Nilai

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan turut memutuskan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di 2 lokaliti Putra Point Nilai.

“Terdapat 2 lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di Putra Point Nilai yang dikesan menyumbang peningkatan kes positif Covid-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F, Jalan BBN 1/2E.

“PKPD akan berkuatkuasa 28 Oktober hingga 10 November. SOP PKPB dan PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini dan layari laman sesawang MKN untuk maklumat lanjut,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, polis menahan 857 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 847 individu dikompaun dan 10 pula direman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.