
Ivana ditemui mati di Kondominium CapSquare di pusat bandar Kuala Lumpur pada 7 Dis 2017, selepas jatuh dari sebuah unit di tingkat 20 milik pasangan Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almaz. Beliau berusia 18 tahun.
Polis kemudiannya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan koroner memutuskan kematiannya ialah nahas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian memerintahkan peguam negara dan polis menyiasat kes itu sebagai pembunuhan, selepas mengetepikan keputusan koroner.

Bapa Ivana, Marcel Smit, berkata keluarga itu belum dimaklumkan pihak pendakwaan atau polis sejak mahkamah mengeluarkan perintah itu pada November tahun lalu.
“Saya rasa kita kembali kepada asal. Kes Ivana nampaknya terkubur dan Malaysia mahu kita melupakannya. Kini sudah lebih setahun,” katanya kepada FMT melalui wawancara telefon.
Beliau menganggap siasatan sudah bermula kerana mahkamah mengeluarkan perintah itu sebelum penularan Covid-19.
Beliau berkata, keluarganya juga beranggapan polis akan mengarahkan ekstradisi pasangan Johnson dari AS untuk membantu siasatan, dan kesal suami isteri itu belum dipanggil.
“Kami tidak dapat membayangan polis dan pendakwa raya tidak akan mematuhi perintah mahkamah. Keluarga sedih dengan hakikat orang yang mungkin bertanggungjawab atas kematian Ivana sedang menikmati kebebasan sepenuhnya, sedangkan kami berdepan kesedihan seumur hidup.”
Peguam keluarga Smit, Sebas Diekstra, berkata ia “menyakitkan” kerana begitu lama tidak tahu kemajuan siasatan.
Katanya, pendakwa raya Belanda, di mana ibu bapa Smit membuat permintaan untuk menyiasat, juga tidak memberikan sebarang maklumat kepada mereka.
Pada 22 Nov 2019, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah mengetepikan penghakiman koroner yang memutuskan kematian itu sebagai nahas dan berkata, ia disebabkan “individu dikenali atau tidak dikenali”.
Beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira keterangan ahli patologi Belanda, Dr Frank van der Goot pada awal inkues yang Johnson dan Almaz mungkin terbabit dalam pergelutan dengan Ivana sebelum kematiannya.
Menurut laporan, pasangan itu berpindah ke Florida sejak itu, di mana mereka bertegas diri tidak bersalah dalam satu siri wawancara dengan akhbar Belanda, AD.nl dan mendakwa Ivana yang di bawah pengaruh alkohol dan dadah, tentunya memanjat balkoni dan terjatuh.
Polis selepas mahkamah mengeluarkan perintah itu tahun lalu berkata, mereka akan membuka semula kes berkenaan sebagai pembunuhan di bawah Kanun Keseksaan.
FMT sudah menghubungi ketua polis negara untuk mendapatkan maklumat terkini.