Masalah besar nanti jika keluar akaun 1 KWSP, kata PM

Masalah besar nanti jika keluar akaun 1 KWSP, kata PM

Muhyiddin Yassin mengakui sukar untuk kerajaan menimbangkan pengeluaran akaun 1 KWSP.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sudah menyediakan berbilion ringgit untuk membantu rakyat. (Gambar Bernama)
PAGOH:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan pencarum akan berdepan masalah besar pada masa akan datang jika kerajaan membenarkan wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan.

Beliau menyedari cadangan bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP itu berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

“Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

“Memang ramai yang teks (mesej) saya berkata ‘tolonglah Tan Sri, kami susah’. Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-24 Koperasi Sungai Terap di SMK Bukit Pasir hari ini.

Katanya, pada masa sama beliau juga tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut kerana bimbang tidak disenangi mereka.

“Saya tidak boleh menasihat rakyat untuk mengikat perut, nanti ada orang marah kata perut dia besar, perut kita suruh berikat. Saya takut hendak cakap sekarang, takut tersalah cakap.

“Dia (sesetengah pihak) kata dia perdana menteri bolehlah hidup, kami di bawah ini tidak boleh hidup. Saya tahu, bukan sahaja di Pagoh tetapi seluruh negara dan dalam keadaan pandemik ini semua orang dalam masalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.