Parti Sabah boleh kempen sendiri di Batu Sapi, kata Masidi

Parti Sabah boleh kempen sendiri di Batu Sapi, kata Masidi

Masidi Manjun berkata kawasan pilihan raya Batu Sapi yang terletak di Sandakan masih dalam zon merah.

Pemimpin parti politik dari Semenanjung mungkin tidak disambut baik untuk berkempen pada PRK Batu Sapi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun percaya parti Sabah boleh berkempen sendiri tanpa bantuan rakan dari Semenanjung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi bulan depan.

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri berkata, mereka sudah belajar daripada pilihan raya negeri 2 bulan lalu, tetapi beliau tidak menyatakan kerajaan negeri akan mencadangkan larangan perjalanan terhadap pemimpin politik dari Semenanjung memasuki Sabah.

Beliau berkata, negeri itu tidak boleh mengenakan sebarang larangan perjalanan terhadap pengundi Batu Sapi yang bermastautin di Semenanjung yang mahu pulang untuk mengundi kerana ia adalah hak mereka.

“Bagaimanapun, ia mengundang persoalan sama ada terdapat keperluan bagi rakyat Malaysia Barat memasuki negeri semasa tempoh kempen.

“Jika kita belajar daripada pilihan raya negeri baru-baru ini, jelas ada keperluan untuk lebih berdisiplin,” katanya hari ini.

Beliau berkata, jika terdapat pertandingan bagi kerusi Batu Sapi dan aktiviti kempen diperlukan, maka rakyat Sabah boleh melakukannya sendiri “dalam apa saja cara yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”

“Ia mengambil kira Sandakan (di mana Batu Sapi terletak) salah 1 kawasan di Sabah masih dianggap sebagai dalam zon merah dan saya rasa semua orang mesti ingat perkara ini,” katanya.

Masidi berkata demikian sebagai respons bagaimana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 6 Disember di Sabah akan mempengaruhi PRK Batu Sapi, yang akan diadakan sehari sebelumnya.

Beliau mengingatkan, terdapat 450 kes Covid-19 di Semenanjung disebabkan individu yang pulang dari Sabah susulan pilihan raya negeri.

“Saya rasa ia pengajaran berguna untuk kita renungkan. Jadi, bodoh bagi kita jika mengulangi kesilapan sama.

“Bagaimanapun, saya akan serah kepada pihak berkuasa yang berkaitan (membuat keputusan) untuk menentukan sama ada larangan (perjalanan) itu harus dilaksanakan atas alasan munasabah, iaitu membendung penularan wabak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.