
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Jamal dituduh dengan sengaja memuat naik dua video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang dilihat pada tengah hari, 20 Ogos 2020 di Taman Dagang Avenue, Ampang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui laman Facebook menggunakan profil Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pada 10 pagi dan 3 petang pada 19 Ogos 2020.
Jamal, 51, dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Selepas beliau minta dibicarakan, timbalan pendakwa raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam.
Bagaimanapun, peguam Imran Tamrin yang mewakili Jamal, memohon jaminan lebih rendah, RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan anak guamnya yang mengendalikan sebuah restoran ketika ini menghadapi masa yang sukar kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 dan kedua-dua pertuduhan akan dibicarakan bersama.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Feb untuk sebutan semula kes.