
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara kriteria lain yang membolehkan pesakit menjalani kuarantin di rumah adalah bukan daripada golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit kronik.
“Selain itu, mereka perlu mempunyai penjaga yang sesuai dan tempat kediaman yang membolehkan pengasingan diri.
“KKM menasihati agar mana-mana individu yang dimaklumkan positif Covid-19 untuk sentiasa berada di rumah dan boleh dihubungi setiap masa,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai kontak rapat kepada kes positif, beliau berkata, individu ini perlu menjalani kuarantin atau pengasingan sama seperti yang diamalkan sebelum ini.
“Keutamaan untuk menjalani ujian swab Covid-19 diberikan kepada mereka yang bergejala. Ini berikutan kemungkinan ujian swab Covid-19 tidak dapat dijalankan untuk semua kontak rapat khususnya di sesetengah daerah atau negeri yang mempunyai bebanan kes yang amat tinggi,” katanya.
Hisham berkata, penekanan perlu diberikan kepada usaha mengasingkan semua individu yang terdedah kepada kes positif daripada menjangkiti individu lain.
“Kuarantin ini tertakluk kepada tempoh 10 hari dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan adalah sangat rendah selepas tempoh tersebut,” katanya.