Langgar PKP: Lelaki Bangladesh cuba rasuah polis dipenjara 2 tahun, denda RM12,000

Langgar PKP: Lelaki Bangladesh cuba rasuah polis dipenjara 2 tahun, denda RM12,000

Mohammad Mosarof gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri apabila diminta polis di sekatan jalan raya, sebaliknya menawarkan rasuah agar tidak ditahan.

Mohammad Mosarof didakwa menawarkan suapan RM500 kepada Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya. (Gambar Reuters)
ALOR SETAR:
Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis pada 20 Jan.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Mosarof, 30, yang didakwa menawarkan suapan RM500 kepada Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Dia didakwa berbuat demikian kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, di Plaza Tol Lunas (BKE), Lebuhraya Butterworth-Kulim, kira-kira 3.30 petang, pada 20 Jan.

Mohammad dituduh bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM Mohamad Fauzee Azizan manakala Mohammad tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, Mohammad bersama seorang lagi individu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lunas, Kulim dengan menaiki sebuah teksi.

Semasa ditahan dalam sekatan jalan raya, dia gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri apabila diminta polis, sebaliknya menawarkan rasuah agar tidak ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.