
PETALING JAYA: Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, hari ini mendakwa tiada aset atau wang tunai berjumlah “berjuta ringgit” yang dirampas pihak berkuasa milik timbalan pengerusinya, MA Tinagaran.
Tinagaran ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas hadir di pejabat SPRM Perak untuk siasatan.
Apa yang diambil pihak berkuasa untuk siasatan, kata Farhash dalam kenyataan menjawab laporan beberapa laman sesawang, adalah wang sejumlah RM17,000 “dalam denominasi kecil”.
Farhash juga mendakwa pihak berkuasa menyita sebuah kereta, yang menurut beliau bukan milik Tinagaran “tetapi seorang kenalan yang menumpang tempat”.
SPRM belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan atau menafikan dakwaan Farhash itu, dalam kes yang masih dalam siasatan.