Pengurus syarikat, isteri ditahan rasuah, ubah wang haram RM3.4j

Pengurus syarikat, isteri ditahan rasuah, ubah wang haram RM3.4j

Menurut sumber SPRM, pasangan itu disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor yang berjaya dianugerahkan projek pembinaan pam minyak.

Sumber SPRM berkata, wang rasuah itu diterima kemudian dipercayai dilaburkan dan digunakan untuk membeli kereta mewah. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus syarikat bersama isterinya kerana disyaki menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram, melibatkan kira-kira RM3.4 juta.

Pengurus syarikat hartanah, minyak dan gas, serta isterinya itu ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada kira-kira 2 petang tadi.

Menurut sumber SPRM, pasangan itu disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan selepas mereka (kontraktor) dianugerahkan projek pembinaan pam minyak, sejak 2017 hingga 2019.

“Kesemua wang rasuah itu kemudian dipercayai telah diubah oleh suspek, seperti dilaburkan dan digunakan untuk membeli kereta mewah,” kata sumber itu.

Menurut sumber berkenaan, sejumlah wang dianggarkan RM684,000 juga didapati telah dipindahkan daripada akaun simpanan pasangan itu ke akaun deposit tetap.

“Suspek juga menyimpan wang tunai dianggarkan bernilai RM1.9 juta serta mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM300,000,” kata sumber itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Shah Alam esok, mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.