
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Kampung Rimbayan mencatatkan 29 kes positif selepas 301 ujian saringan dilakukan setakat semalam.
“Bagi Kampung Simpang 3A di Tawau, sehingga 31 Mac lalu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 12 ujian saringan
dan daripada jumlah itu, tujuh kes positif direkodkan, manakala empat lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, hanya dua orang ditahan dan dikompaun semalam atas kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan.
Katanya, kesalahan itu ialah merentas negeri/daerah tanpa kebenaran.
Beliau berkata, 50 pendatang asing tanpa izin turut ditahan, dengan dua bot/kapal dan lima kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng semalam.
Katanya, seramai 159,661 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 78 hotel dan sembilan institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,249 individu dikuarantin dan
151,218 orang dibenarkan pulang, manakala 1,194 lagi dibawa ke hospital.”