Dia juga memiliki kereta-kereta mewah bernilai RM15.7 juta.
Demikian pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya ke atas kartel itu, yang dikatakan aktif sejak 2014.
Dalam serbuan di kediaman individu bergelar “Datuk” itu semalam, SPRM turut menemui wang tunai sebanyak RM3.5 juta.
Penemuan itu di samping hartanah-hartanah bernilai RM29 juta, termasuk sebuah banglo, sebuah lot kedai, dan sebuah lot pejabat, yang dirampas.
“Kemewahan yang ditunjukkan oleh Datuk yang merupakan ketua sindiket ini amat luar biasa,” kata sumber.
Semalam, FMT melaporkan satu sindiket kartel mengendalikan lebih 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan berjaya ditumpaskan SPRM susulan penahanan tujuh orang suspek, termasuk ketua sindiket terbabit.
Sindiket itu memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan bernilai RM3.8 bilion.
Ia menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat di bawah naungannya, menggajikan individu sebagai pengarah syarikat untuk kegunaan nama dan keterangan mereka.

Pelbagai syarikat di bawah kartel itu kemudian akan menawarkan kontrak berdasarkan maklumat yang diberikan oleh “orang dalam di kementerian” untuk memastikan syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.
Sumber itu berkata sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan terbabit.
Pegawai kanan agensi kerajaan ditahan
Sementara itu, sumber berkata SPRM menahan suspek kelapan dalam kes itu, iaitu seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan.
Juru ukur bahan berusia 38 tahun itu merupakan penjawat awam Gred 48, dipercayai menerima rasuah bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek kepada ketua sindiket untuk memudahkan penyediaan dokumen tender.
“Penahanan ke atas pegawai terbabit dibuat lewat malam semalam di rumah beliau di Ampang. Dia menerima rasuah sebanyak RM300,000.00 bagi maklumat yang disalurkan kepada ketua sindiket. Setakat ini, anggaran RM1.2 juta telah dibayar kepadanya.
“Lebih ramai akan ditahan berhubung kes ini,” kata sumber itu.
Ketika dihubungi, ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.