
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak berkata, proses itu dijalankan antaranya menerusi pengaplikasian modul khusus memperbetulkan fahaman dan pandangan mereka berhubung isu yang menjadi pegangan serta pertikaian mereka.
“Modul khusus itu antara yang diaturkan pihak Jabatan Penjara dan Cawangan Khas terhadap semua banduan terlibat dalam kumpulan pengganas yang didakwa di bawah Bab VI A Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah keganasan.
“Menerusi itu (modul khusus), hukuman dikenakan secara amnya tidaklah tertumpu kepada tempoh penjara semata-mata, bahkan kebajikan dan kemaslahatan mereka sebenarnya dijaga,” kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi tujuan itu, kata beliau, pakar-pakar dalam bidang agama disediakan untuk bersoal jawab dengan banduan terbabit dan memberi kefahaman yang betul tentang Islam, jihad, akhir zaman, Imam Mahdi, dan lain-lain.
“Pendedahan seperti ini memberi ruang dan peluang untuk menyoroti apa sebenarnya yang mereka kelirukan. Selain bab Islam dan maqasid syariahnya, banduan juga dibentuk untuk cintakan negara, menghormati undang-undang, menghargai keselamatan dan keamanan, menyayangi ibu bapa serta keluarga,” kata beliau.
Normah berkata, banduan-banduan terbabit juga diberikan pendedahan kepada kemahiran yang boleh menjana pendapatan.
“Di sini, mereka berpeluang mempelajari ilmu-ilmu perniagaan, tentang peluang-peluang yang disediakan agensi kerajaan seperti pembiayaan mikro dan perniagaan mikro.
“Pendek kata, proses pemulihan itu menyeluruh dengan harapan apabila dibebaskan kelak mereka menjadi warganegara yang taat kepada agama, raja dan negara,” kata beliau.
Normah juga berkata keganasan merupakan isu global yang tidak boleh ditangani secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Tambahan dalam dunia hari ini, mobiliti manusia begitu luas ekoran teknologi pengangkutan yang semakin baik. Cuma ketika era Covid-19 ini, pergerakan sedikit tersekat namun teknologi komunikasi yang canggih menjadikan perhubungan begitu mudah walaupun di antara jarak yang jauh.
“Sistem kewangan yang berangkai di seluruh dunia juga membolehkan dana bergerak secara berselerak dan menjadi satu kelebihan kepada para pengganas,” kata beliau.
Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, polis bekerjasama dengan semua pasukan bagi mencapai matlamat melawan keganasan.
“Begitu juga di peringkat serantau atau dalam kalangan negara ASEAN. Namun, di peringkat nasional, kita memerlukan satu pendekatan terancang agar kes-kes awal yang condong kepada fahaman ekstrem ini dapat dikesan lebih awal supaya tindakan mitigasi yang berkesan dapat diambil,” kata beliau.
Selain itu, kata Normah, rakyat Malaysia boleh bergabung menjadi mata dan telinga polis dengan melaporkan tanda-tanda awal atau indikator terhadap aktiviti keganasan dalam negara.