
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, universiti swasta kerap memperkenalkan kursus baharu untuk menarik lebih ramai pelajar.
Berdepan tekanan untuk mengaut keuntungan, institusi terbabit akan giat mempromosikan kursus baharu kepada bakal pelajar, sebelum kursus berkenaan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Williams berkata, kursus baharu tersebut selalunya bersifat khusus dan memerlukan kakitangan yang pakar untuk mengajar.

“Ahli fakulti kemudian terbeban dengan bilangan pelajar, atau fakulti perlu kerap mengganti kakitangan akibat gaji rendah dan keadaan yang tidak kondusif,” kata beliau.
Fakulti terbabit dan pengurusnya, kata Williams, juga kadang-kadang tidak cukup terlatih, hilang motivasi, dan tidak mendapat sokongan secukupnya.
Isu sebegini akan menjejaskan kualiti kursus, mengakibatkan MQA menggantung atau menolak permohonan akreditasi selepas audit.
“Pelajar kemudian menanggung akibatnya, tetapi ini kegagalan pihak pengurusan, bukan MQA,” kata Williams.
MQA sangat efektif dalam mengaudit kursus, kata beliau, sambil menambah, kes MQA menolak permohonan akreditasi kursus di universiti swasta sangat lazim.
Namun, jarang begitu banyak kursus atau pelajar yang terkesan pada waktu sama, tambah beliau.
“Kebanyakan universiti akan segera memenuhi syarat MQA,” kata beliau.
Williams menasihatkan bakal pelajar untuk menyemak status akreditasi kursus sebelum mendaftar.
MQA adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawasi standard kursus yang ditawarkan di institusi pengajian swasta.
Agensi ini akan menawarkan akreditasi bersyarat dahulu bagi kursus baharu, dan selepas audit, akan memberi akreditasi penuh sekiranya kursus berkenaan memenuhi standard minimumnya.
“Walaupun universiti (swasta) selalu mengeluh tentang (proses ini), hakikatnya, tanpa audit MQA, standard akan jatuh sepenuhnya akibat tekanan untuk mengurangkan kos,” kata Williams.
Sementara itu, Sharan Raj, ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkata masalah berhubung akreditasi sudah wujud sejak lebih 20 tahun, semenjak penubuhan institusi pengajian swasta.

“Sejak itu, sudah banyak aduan dibuat oleh pelajar dan ibu bapa tentang kursus berkualiti sub-standard yang ditawarkan oleh institusi pengajian swasta,” kata Raj, yang juga bekas ketua biro pendidikan parti itu.
Tambah beliau, institusi swasta, yang bermatlamatkan keuntungan, selalunya akan memilih untuk mengambil jalan mudah apabila berdepan kos tinggi bagi pendidikan berkualiti.
“Sektor swasta juga tidak mempunyai dana permulaan untuk membina kampus yang berkualiti, berbanding sektor kerajaan. Disebabkan ini, banyak institusi swasta berpangkalan di rumah kedai,” kata beliau.
“Dalam jangka pendek, Kementerian Pengajian Tinggi harus memastikan MQA mempunyai dana dan kakitangan yang cukup untuk mengawasi institusi pengajian swasta dan menguatkuasakan standard minimum, supaya golongan belia kita tidak rugi disebabkan institusi yang mengaut keuntungan.”
Beliau juga berkata, kerajaan patut mengenal pasti bahawa penswastaan pendidikan tinggi telah banyak menjejaskan golongan belia, dengan ramai antara mereka dinafikan pendidikan yang mereka bayar, di samping perlu menanggung hutang pelajaran.
Baru-baru ini dilaporkan kira-kira 800 pelajar tempatan dan asing di sebuah universiti swasta premier berdepan masalah apabila universiti berkenaan tidak mendapat akreditasi bagi kebanyakan kursusnya.
Pelajar terbabit berkata, akreditasi bagi kursus-kursus tersebut ditarik balik oleh MQA kerana standard dan kualiti tertentu tidak dicapai.