
Beliau berkata, bantuan itu termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta beberapa industri yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga kini, sekali gus meringankan beban mereka dalam menempuh saat-saat sukar.
“Walaupun tanggungjawab untuk memerangi penularan Covid-19 terletak pada kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan situasi pandemik di Selangor dengan memanfaatkan sumber dan strategi untuk memperkenalkan lebih banyak kemudahan sokongan dan dasar bagi membantu rakyat dan pelbagai industri,” katanya dalam kenyataan.
Selain bantuan tunai, Lau turut menggesa kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM300 kepada penganggur di Selangor selama tiga bulan.
Bagi PKS di Selangor pula, Lau mengesyorkan program pinjaman tanpa faedah berjumlah RM500 juta dan subsidi gaji sebanyak 50% selama tiga bulan.
Selain itu, beliau mencadangkan bantuan kewangan khas bagi merancakkan industri pelancongan dan hiburan di negeri itu.
Sebelum ini, semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Menteri Besar Amirudin Shari memaklumkan bahawa simpanan semasa kerajaan negeri melalui Kumpulan Wang Gabungan mencatatkan sejumlah RM2,569.95 juta.
Jumlah itu terdiri daripada RM788.76 juta Akaun Hasil Gabungan dan Akaun Amanah Gabungan berjumlah RM1,781.19 juta.
Lau berkata, walaupun terdapat kesan daripada penularan Covid-19, prestasi kewangan Selangor kekal sihat.
“Namun, pada masa ini, penduduk di Selangor dan pelbagai industri berada dalam keadaan sukar dan sangat memerlukan bantuan kerajaan.
“Oleh itu, kerajaan negeri Pakatan Harapan itu harus mengeluarkan sebahagian simpanannya untuk membantu rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Lau berkata, walaupun Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi Covid-19, PH tidak menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk memerangi wabak tersebut dengan dasar yang kuat, menyebabkan semua lapisan masyarakat terus tertekan.