Selangor Task Force Covid-19 tolak PKP penuh, dakwa kadar kebolehjangkitan masih rendah

Selangor Task Force Covid-19 tolak PKP penuh, dakwa kadar kebolehjangkitan masih rendah

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad, mahu PKP bersasar dengan SOP lebih efektif dan berkesan dilaksanakan di negeri itu.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Jika PKP penuh dilaksanakan negeri itu akan menjadi mangsa dari segi industri dan aktiviti penduduk.
SHAH ALAM:
Selangor Task Force Covid-19 menolak cadangan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh di negeri itu, mendakwa keadaan di Selangor lebih baik berbanding beberapa negeri lain.

Pengerusi Dr Dzulkefly Ahmad, ketika menafikan dakwaan kerajaan negeri gagal membendung peningkatan penularan Covid-19 berkata, Selangor masih merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) rendah iaitu 1.14 berbanding enam negeri lain seperti Pahang dan Kedah.

Bekas Menteri Kesihatan itu mendakwa, Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.20), Putrajaya dan Negeri Sembilan (1.16).

“Angka akan tetap tinggi tetapi adakah kita terbeban secara teruk sehingga kita mahu laksanakan PKP menyeluruh? Kita menolak keperluan itu tetapi perlu ada usaha untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat yang terbeban ketika ini.

“Jangan jadikan ‘lock down’ jalan mudah kerana kegagalan kita urus PKP 2.0 contohnya. Kematian juga semakin hari semakin tinggi mencanak,” katanya, dan menambah sektor perkhidmatan kesihatan negeri masih lagi mampu menampung jumlah pesakit ketika ini dengan menambah jumlah katil ICU dan ventilator.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Covid-19 Negeri Selangor yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dalam pada itu, Dzulkefly mahu PKP bersasar dengan SOP yang lebih efektif dan berkesan dilaksanakan di Selangor.

“Kita tidak boleh duduk saja dalam tempoh PKP, perlu ada peningkatan dari segi tindakan.

“Selain angka yang tinggi ketika ini, Selangor tidak boleh dikatakan negeri paling parah. Rakyat kita seramai tujuh juta dan jika termasuk Kuala Lumpur lebih lapan juta. KKM perlu tengok dari segi nisbah jangkitan kepada jumlah penduduk.

“Jika PKP penuh, Selangor akan jadi mangsa dari segi industri dan aktiviti penduduk. Ini tidak adil,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata pihaknya membuat pertimbangan menguatkuasakan PKP secara menyeluruh di Selangor jika jangkitan harian Covid-19 di negeri itu tidak menunjukkan penurunan.

Selangor kekal menjadi negeri tertinggi melaporkan kes harian positif Covid-19 hampir setiap hari dengan merekodkan 1,743 kes baharu semalam. Setakat ini jumlah kumulatif jangkitan bagi negeri itu sebanyak 157,054 kes.

Ia susulan saringan percuma secara besar-besaran yang diadakan di seluruh negeri bermula 8 Mei lalu dan dijangka berakhir 10 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.