Dakwaan pandu uji kereta ketika PKP fitnah semata-mata, kata setiausaha MB Kedah

Dakwaan pandu uji kereta ketika PKP fitnah semata-mata, kata setiausaha MB Kedah

Afnan Hamimi Taib Azamuddin kehadiran Sanusi di pusat pameran kereta adalah satu kebetulan dan bukannya memang niat mahu membeli kereta.

Terdahulu, polis berkata Sanusi akan disiasat susulan dakwaan melanggar SOP PKP 3.0 yang tular media sosial. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana memandu uji kereta di sebuah pusat pameran kereta di Autocity Juru, Pulau Pinang, adalah fitnah semata-mata.

Setiausaha politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menerusi catatan di Facebook memberitahu kehadiran Sanusi di pusat pameran kereta adalah satu kebetulan dan bukannya memang niat mahu membeli kereta sebaliknya hanya datang untuk melihat sahaja.

“Ada cerita fitnah baru tentang MB, kononnya MB langgar SOP PKP.pergi pandu uji kereta Ford Ranger di Juru Auto City Penang, ini kisah sebenar yang berlaku.

“Ada seorang jurujual duk susun kereta Ford Ranger di luar ‘show room’. Menteri besar pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli. Saja nak pi tengok. Minat. Kalau pi hendap-hendap satgi orang tengok pelik pulak.

“Walaupun ‘show room’ tutup, salesman tu bersopan, layan orang yang mai sambil-sambil duk alih kereta-kereta tu. Dia tahu waktu ini tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga, macam tu la,” katanya, malam tadi.

Afnan Hamimi menjelaskan, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan singgah di Juru untuk membeli bekalan makanan susulan kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup.

Jelasnya, kebetulan kedai tempat membeli makanan di Juru itu berdekatan dengan pusat pameran kereta dan ia tidak beroperasi.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama seorang pemandu dan polis pengiring, manakala pergerakan rentas daerah atau negeri oleh wakil rakyat dibenarkan.

Menurutnya, selepas siap beli makanan, Sanusi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Ford Ranger itu duk ada kat Juru tu. Tak ikut pi sekali. Tiada test drive berlaku.

“Kereta Vellfire yang menteri besar naik itu memang SADA (Syarikat Air Darul Aman) punya. Menteri besar adalah pengerusi SADA. Tiada masalah untuk guna kereta itu bagi urusan rasmi.

“Tulisan perkataan ‘Menteri Besar Kedah’ pada kereta itu untuk memudahkan pengecaman pihak polis ketika melalui sekatan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook mendakwa Sanusi berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan di situ.

Dia juga mendakwa berlaku pelanggaran SOP termasuk menaiki kenderaan dengan tiga penumpang sekali gus melebihi had dibenarkan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun hantaran itu kemudiannya dipadam selepas menjadi tular sekali gus mewujudkan pelbagai reaksi warganet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.