Suap agar tak siasat: Pegawai SPRM dituduh subahat, badan anti-rasuah tegas tidak kompromi

Suap agar tak siasat: Pegawai SPRM dituduh subahat, badan anti-rasuah tegas tidak kompromi

SPRM ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa pelanggaran undang-undang oleh pegawainya.

PETALING JAYA: Dua lelaki termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM100,000 pada 14 April.

Dalam kenyataan SPRM berkata, Pejabat Peguam Negara memberi izin mendakwa pegawai tersebut.

SPRM berkata, pegawai berkenaan Shahrul Izuan Mohd Zin, 41, dituduh bersubahat dengan Teoh Peng Sin, 55, untuk menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan terhadap seorang individu di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Kedua-dua tertuduh ditahan oleh SPRM pada 14 April dan pertuduhan hari ini dilakukan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Rozilah Salleh.

SPRM berkata, pegawai terbabit juga sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis berkaitan siasatan kes di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA.

Katanya, pertuduhan hari ini tiada kaitan dengan kes tersebut.

“SPRM ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa pelanggaran undang-undang oleh pegawainya dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.