
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata ia adalah percubaan terdesak PAS untuk mendapatkan sokongan orang muda bagi menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataannya semalam, Hadi mendakwa PH sudah mendedahkan “sikapnya yang ekstrem” terhadap Islam hanya beberapa hari selepas pemimpinnya memenangi pilihan raya umum pada 2018. Hadi bagaimanapun tidak memberikan contoh mengenai perkara itu.
“Menyedari bahawa PN sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan jika ada keabsahan politik untuk memerintah sebagai kerajaan berpandukan titah Agong, Hadi kini memainkan isu agama dan ekstremis ” kata Lim, yang juga menteri kewangan selama 22 bulan PH berkuasa.
“Bergantung semata-mata dengan pembohongan atas nama bangsa dan agama jelas memperlihatkan sikap terdesak PAS memanfaatkan segala cara untuk memulihkan semula defisit kepercayaan antara kerajaan dan pengundi.
Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Kenyataan itu disusuli pula kenyataan bersama Majlis Raja-Raja yang menyatakan tidak ada keperluan untuk negara meneruskan darurat selepas 1 Ogos.
Dalam kenyataannya semalam, Hadi menasihatkan generasi muda agar tidak mudah terpengaruh oleh media untuk menyokong semula PH kerana katanya ia hanya “akan menimbulkan penyesalan dalam kehidupan ini dan masa akan datang”.
“Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat dari lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya.