Majlis presiden PN: MT setuju bincang tambah baik perlembagaan

Majlis presiden PN: MT setuju bincang tambah baik perlembagaan

Penambahbaikan akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang, kata timbalan setiausaha agung PN.

Mesyuarat PN
Penambahbaikan perlembagaan PN berkenaan fungsi dan tanggungjawab majlis presiden akan dibincangkan pada mesyuarat MT akan datang. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Majlis tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk membincangkan penambahbaikan perlembagaan gabungan itu berkenaan fungsi dan tanggungjawab majlis presiden.

Timbalan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata persetujuan itu menyahut cadangan supaya perlembagaan PN diteliti untuk penambahbaikan, “untuk memperkuat PN menghadapi pilihan raya”.

“Mesyuarat bersetuju dan akan dibincangkan dalam mesyuarat PN akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN, petang tadi.

Pada Jan, berlatarkan kemelut berkenaan pelantikan pengerusi baharu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor menerangkan bahawa majlis presiden yang dianggotai presiden-presiden parti berperanan sebagai badan penasihat dan pengawal dasar, manakala pengerusi PN berperanan sebagai eksekutif yang mempengerusikan majlis tertinggi.

Sementara itu, menjawab pertanyaan berhubung tempat duduk Ahli Parlimen susulan tindakan disiplin melibatkan wakil rakyat Bersatu, Takiyuddin berkata beliau akan mendapatkan arahan berkenaan hal itu daripada pengerusi baharu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas dakwaan pemimpin Bersatu mempersendakan pemimpin PAS dalam kumpulan WhatsApp, susulan tangkap layar yang tular di media sosial, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata partinya tidak mengambil serius perkara berkenaan.

“Presiden (Hadi Awang) tidak mahu ambil tahu mengenainya. Jadi kita serahkan kepada pihak berkenaan untuk menguruskan perkara tersebut.

“Itu tiada kaitan dengan kami. Kami tidak mengambilnya dengan serius,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.