Dulu belah awan, kini ‘mat bunga’; juruterbang bangkit teroka potensi diri

Dulu belah awan, kini ‘mat bunga’; juruterbang bangkit teroka potensi diri

Fidzry Mohamad Zaidy, yang dicutikan tanpa gaji oleh syarikat penerbangan akibat pandemik, terpaksa mencari sumber pendapatan lain bermula dengan menjual makanan dan kini bunga hiasan.

PETALING JAYA:
Melepaskan “sementara” pekerjaan sebagai juruterbang yang diimpikan sejak kecil bukan perkara mudah buat Fidzry Mohamad Zaidy Mohamad yang sudah membelah awan lebih 8 tahun lalu.

Apatah lagi pekerjaan itu sumber pendapatan yang menampung kehidupan bersama isteri Faradiana Abdul Majid serta 2 cahaya mata, Feridz Mohamad, 5, dan Fiina Delisya, 4.

Ketika melangkah ke alam pekerjaan pada 2012, segalanya tampak lancar buat insan berusia 32 tahun ini, malah beliau dinaikkan pangkat sebagai kapten pada 2017.

Namun wabak Covid-19 melanda awal tahun lalu mengubah segalanya. Sektor penerbangan yang rancak menerima penumpang bertukar suram menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

Syarikatnya memutuskan untuk melaksanakan skim potongan gaji kepada kakitangan. Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Fidzry dan isteri melakukan beberapa perniagaan kecil termasuk menjual mi kari.

Bermula dengan menjual kepada kenalan rapat, mereka berjaya mendapat pelanggan hingga ke Nilai, Negeri Sembilan namun perniagaan bergerak perlahan sekitar Ogos tahun sama.

Fidzry Mohamad Zaidy, 32, bersama isteri, Faradiana Abdul Majid.

“Keadaan bertambah teruk pada akhir tahun disebabkan sekatan perjalanan berterusan dan diperketatkan kembali; syarikat penerbangan memutuskan memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja termasuk saya.

“Setelah berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan berniaga sepenuh masa,” katanya kepada FMT. Mereka bertukar haluan dan memilih perniagaan menggubah bunga hiasan pula.

Dari seorang yang mengendalikan pesawat dinaiki ratusan penumpang, kini dia ‘melembutkan’ tangan untuk menggubah bunga pula.

Mulanya memang sukar kerana beliau tidak mempunyai kemahiran menggubah bunga namun tidak begitu kekok kerana pernah membantu ibunya dalam bidang itu.

“Sebagai seorang juruterbang, saya biasa bekerja secara sistematik dengan perancangan rapi. Menyesuaikan diri dalam masa yang singkat telah sedikit sebanyak membantu dalam dunia perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu Faradiana berkata, mereka memutuskan untuk mengembangkan perusahaan gubahan bunga ibu mertuanya di bawah label Crafty Decor dan menjadikan rumah mereka di Taman Cahaya Alam, Shah Alam sebagai galeri.

Dahulu mengawal kapal terbang di langit biru, Fidzry Mohamad kini serasi bereksperimen dengan bunga-bungaan untuk dijual kepada pelanggan.

“Kami menyediakan gubahan bunga tiruan untuk hiasan rumah, pejabat atau dekorasi majlis selain kad dibuat khas serta set bersama pencuci mulut, kek atau bakul buah untuk dijadikan hadiah.

“Kami menggunakan bunga berkualiti tinggi dengan gubahan mengikut perkembangan semasa yang dijual pada harga bermula RM50 hingga ribuan ringgit bergantung kepada permintaan pelanggan,” kata ibu berusia 31 tahun itu.

Usaha keras mereka ternyata berbaloi apabila pada Ramadan lalu, mereka mendapat tempahan hamper bunga hiasan tiruan bersama beg songket dibuat khas sempena Aidilfitri yang dijual lebih 500 unit.

Pasangan itu turut berkongsi rezeki bersama rakan suaminya yang terjejas pendapatan. Mereka diberi tanggungjawab menguruskan bahagian penghantaran.

“Wabak ini mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Ia mengajar kami untuk tidak mudah putus asa, sentiasa kuat semangat dan yakin dengan rezeki Allah yang sangat luas,” kata Faradiana.

Orang ramai yang ingin melihat hasil gubahan bunga mereka boleh berbuat demikian di Facebook Crafty Decor dan Instagram craftydecor.official.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.