
Beliau berkata, semua pekebun terbabit hadir ke pejabat SPRM Raub bermula 10 pagi hingga 4 petang semalam bagi memberikan keterangan.
“Semua pekebun terbabit memberikan keterangan dan bekerjasama penuh dalam suasana yang baik. Tiada pekebun yang ditahan pihak SPRM setakat ini dan semua berjalan dengan baik serta lancar,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Katanya, semua pekebun terbabit turut diwakili peguam yang dilantik dalam kes ini bagi berhadapan dengan isu berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah yang bermula sejak 3 Julai lalu membabitkan luas keseluruhan lebih 101 hektar.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, operasi itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan ia dibantu dengan kehadiran lebih ramai kakitangan dari setiap daerah.
Azirim berkata, kerja menebang pokok disertai hampir 100 kakitangan dan turut dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menggunakan mesin gergaji berantai.
Katanya, kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa lalu membantu kelancaran operasi selepas berlaku tindakan provokasi selain jambatan dirosakkan.
JPNP kini telah memulakan aktiviti menanam pelbagai spesies pokok hutan yang dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan durian Musang King yang ditebang.