Dr M akui salah langgar SOP, tak patut sertai himpunan Ahli Parlimen pembangkang

Dr M akui salah langgar SOP, tak patut sertai himpunan Ahli Parlimen pembangkang

Bekas perdana menteri mengakui perhimpunan sedemikian tidak sepatutnya diadakan ketika negara berdepan penularan Covid-19 tinggi.

Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim antara 107 Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka semalam untuk berarak ke Parlimen.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau melakukan kesalahan apabila menyertai perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang diketuai Anwar Ibrahim semalam bagi membantah penangguhan sidang khas Dewan Rakyat selama dua minggu.

Bekas perdana menteri itu berkata, perhimpunan sedemikian tidak sepatutnya diadakan kerana kurang penjarakan fizikal ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.

“Soal SOP itu saya dapati cukup susah, saya mengaku saya sendiri buat salah.

“Semalam saya hadir perjumpaan wakil rakyat (pembangkang), mula-mula saya fikir nak duduk dalam kereta, tak payah keluar nak tunjuk saya sokong. Tapi bila sampai di situ, orang berkumpul bagi ucapan, saya pun pergi sama dan duduk dekat dengan orang.

“Mujur hari ini saya buat ujian lagi sekali negatif. Tapi itu (sertai himpunan) saya tidak lakukan sepatutnya, perhimpunan sebegitu tak harus diadakan.

“Kalau nak adakan perjumpaan kita boleh adakan melalui media sosial guna Zoom, kalau nak protes guna Zoom supaya kita jangan dekat dengan orang,” katanya menerusi wawancara “Solusi Selamatkan Malaysia” di Facebook Reset Malaysia.

Semalam, 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen dalam bantahan bagi mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet meletak jawatan.

Bagaimanapun, cubaan berarak ke Parlimen itu tidak berjaya kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang laluan masuk ke Jalan Parlimen dari Dataran Merdeka.

Kemudiannya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, siasatan ke atas himpunan itu dimulakan, selepas dua laporan polis diterima.

Sementara itu, Mahathir berkata, kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal antara cara untuk membendung penularan Covid-19.

“Varian Delta ini dibawa oleh angin, 1m penjarakan tak cukup, kena sekurang-kurangnya 2m.

“Sebab orang tak patuh penjarakan fizikal, sebab itu ada jangkitan,” katanya sambil menambah selain pematuhan SOP, vaksinasi juga dapat membendung penularan virus itu.

Beliau memuji pencapaian kerajaan berjaya meningkatkan vaksinasi melebihi 500,000 dos sehari, tetapi ia boleh ditingkatkan lagi kepada 800,000 dos sehari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.