Perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang: 6 mula dirakam keterangan

Perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang: 6 mula dirakam keterangan

Mereka dipanggil berbuat demikian susulan berhimpun di Dataran Merdeka pada Isnin lalu sebagai reaksi bantahan kepada penangguhan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen pembangkang dijangka akan dirakam keterangan sehingga petang ini secara bergilir-gilir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mulai pagi ini.

Mereka dipanggil berbuat demikian susulan berhimpun di Dataran Merdeka pada Isnin lalu sebagai reaksi bantahan kepada penangguhan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendahului senarai Ahli Parlimen pembangkang yang dirakam keterangan.

Beliau hadir pada 10 pagi tadi dan dijangka diikuti Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil setengah jam kemudian.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dijadualkan dirakam percakapan pada jam 11 pagi ini.

Dua lagi wakil rakyat masing-masing dari DAP dan MUDA bakal memberi keterangan pada 2.30 petang.

Mereka ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Lim membidas tindakan polis memanggil Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa mengadakan perhimpunan Isnin lalu itu.

Beliau menafikan mereka berhimpun dan sebaliknya berkata, mereka hanya mahu memasuki bangunan Parlimen tetapi dihalang oleh polis.

“(Ingin) tegaskan kami tidak berhimpun. Kami hanya dalam perjalanan pergi ke Parlimen.

“Kami sebagai Ahli Parlimen, kami berhak masuk ke Dewan Parlimen, tetapi polis telah mengepong Parlimen. Kami telah dihalang daripada memasuki dewan.

“Sekarang pula polis kata kami yang berhimpun, saya nak beritahu, pihak polis siapa yang sebenarnya berhimpun,” katanya sebelum diambil keterangan.

Lim juga meminta polis menyiasat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa telah mengafakan himpunan di rumahnya semalam.

“Yang benar berhimpun adalah Muhyiddin semalam, di rumahnya. Polis pergi siasat. Jangan buang masa kami,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan memanggil semua 107 Ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka sebagai bantahan kepada penangguhan Parlimen.

Azmi berkata, polis telah mengenal pasti semua peserta Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen itu dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Antara yang hadir adalah bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Saifuddin Nasution.

Terdahulu, pemimpin parti dan menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan meninggalkan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, selepas tengah malam.

Kenderaan yang membawa pemimpin parti dan menteri mula keluar meninggalkan kediaman perdana menteri mulai jam 12.15 tengah malam.

Antaranya Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia M Saravanan; Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong serta beberapa lagi pemimpin utama.

Bagaimanapun tiada sebarang komen diberikan kepada pihak media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.