
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesemua projek berkenaan melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu yang sedang dan akan dijalankan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Beliau berkata, antaranya ialah dua projek pembangunan melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sistem Saliran Mesra Alam (SMA) dengan kos projek bernilai RM32.8 juta dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat di daerah itu bernilai RM48.5 juta.
Tuan Ibrahim berkata, naik taraf sistem SMA yang melibatkan sistem saliran Sungai Suloh dan Peserai di daerah itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang.
“Projek menaik taraf sistem SMA Sungai Suloh telah siap 45%, manakala naik taraf sistem SMA Peserai telah siap 30%. Kedua-dua projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai projek berkenaan di Parit Basri, dekat sini.
Berkenaan projek RTB Sungai Batu Pahat pula beliau berkata, projek yang menelan kos RM48.5 juta itu dijangka mengurangkan risiko “banjir termenung” sekiranya berlaku hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu, iaitu di Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.
Beliau berkata, projek itu yang kini dalam proses pra pelaksanaan perkhidmatan perunding dan bakal melantik kontraktor tahun hadapan, dijangka siap dalam masa tiga tahun.
“Pelaksanaan projek-projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah ‘banjir termenung’ serta mengurangkan kerugian yang dialami peladang kelapa sawit,” katanya lagi.
Turut hadir pada taklimat itu ialah Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad yang juga menteri pengajian tinggi serta Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Medan (ADUN) Zulkurnain Kamisan.
Dalam rangka lawatan kerja sehari itu, Tuan Ibrahim turut dijadualkan melawat tapak projek RTB Sungai Batu Pahat, tapak projek menaik taraf Sistem SMA serta melihat demonstrasi kawalan pelepasan air “banjir termenung” di Kampung Parit Separap, di sini.
Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Selangor yang menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU) serta memulakan proses mewartakan semula HSKKLU, beliau berterima kasih serta menyambut baik usaha itu serta usaha kerajaan negeri yang lain dalam mewartakan kawasan tadahan air.
“Masalah kita ini, pelepasan karbon kita di ‘offset’ dengan jumlah hutan yang ada. Malaysia alhamdulillah, kita masih mengekalkan 55% hutan… dan terima kasih kepada kerajaan negeri, yang sebahagian besar mematuhi had tebangan yang dikeluarkan kementerian ini,” katanya.