
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejumlah 60,504 pelancong mengunjungi Langkawi sehingga 6 Okt lepas dengan purata 16 penerbangan sehari ke pulau itu, dengan dua trip feri ke Langkawi, masing-masing dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta dua trip feri “RORO” ke Langkawi dari Kuala Perlis.
“Melihat jauh ke hadapan, Langkawi dijangka dibuka kepada pelancong antarabangsa sekitar November atau Disember 2021, tertakluk kepada keputusan kerajaan persekutuan.
“Saya difahamkan oleh pihak MAS (Malaysia Airlines), terdapat permintaan sangat tinggi dalam kalangan pelancong antarabangsa untuk masuk ke Langkawi melalui Malaysia Airlines,” katanya berucap merasmikan “Langkawi Great Sales 2021” (LGS) yang disiarkan secara maya hari ini.
Turut serta dalam majlis perasmian itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.
Sanusi meyakini Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berusaha membuat persediaan terbaik bagi merealisasikan pelancongan Langkawi bermula dengan penyediaan Pensijilan Mysafe kepada pemain industri yang merangkumi industri penginapan, restoran, produk pelancongan dan premis perniagaan.
“Kemudiannya, LADA turut menyediakan talian hotline (utama) gelembung pelancongan dan terkini menyediakan platform Market Place serta LGS bagi membantu penggiat industri pelancongan Langkawi memulakan semula perniagaan.”
Sementara itu, Sanusi berkata, LGS 2021 mengetengahkan elemen promosi secara digital dan konvensional yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, kemudahsampaian informasi melalui platform digital “Great Sale” itu akan membuka lebih banyak peluang kepada pelancong untuk membuat perancangan awal bagi melancong ke Langkawi, sekali gus memudahkan urusan mereka ketika melancong di pulau berkenaan.
“Dengan pengenalan kepada inisiatif baru ini, saya juga melihat nama Langkawi terus menjadi sebutan ramai…ini sekali gus akan melicinkan urusan pelancong semasa di Langkawi tanpa perlu menunggu giliran atau beratur di kaunter tiket bagi mendapatkan tiket masuk ke produk pelancongan Langkawi.”