Dakwaan seleweng dana MITRA, SPRM buka kertas siasatan

Dakwaan seleweng dana MITRA, SPRM buka kertas siasatan

Suruhanjaya itu berkata siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut.

SPRM berkata siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan oleh persatuan, individu atau syarikat yang menerima dana terbabit.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana bawah agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Dalam kenyataan SPRM berkata, pihaknya juga menerima laporan dibuat Pengerusi Pemuda Gen Z berhubung perkara sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

“Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dan mengkaji laporan yang dikemukakan tersebut,” katanya.

SPRM berkata, siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan oleh persatuan, individu atau syarikat yang menerima dana terbabit bagi mengesan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pada 6 Oktober lalu FMT melaporkan, Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique berkata, MITRA tidak menerima peruntukan tahunan RM100 juta sejak dua tahun lalu, berikutan mempunyai “hutang” yang perlu dilunaskan.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, MITRA hanya mempunyai RM65 juta saja pada 2020, dengan RM35 juta digunakan untuk membayar hutang berkaitan program dilaksanakan sebelum ini, di mana agensi itu diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

Halimah turut menafikan dakwaan berlegar di sosial media, mendakwa beliau bertanggungjawab menyebabkan dana diperuntukan kepada MITRA tidak mencapai penerima sasaran.

Pada 10 Oktober lalu, bekas Menteri Perpaduan Negara P Waytha Moorthy, mempelawa Halimah bersama dengannya melaporkan kepada SPRM berhubung dakwaan “salah guna dana” kerajaan itu.

Dalam kenyataan sebelum ini oleh kementerian itu, semua kelulusan geran MITRA berada bawah bidang kuasa menteri dan ketua pengarah. Ketua pengarah ketika itu adalah Magalingam Maniam, yang dilantik Waytha dan berkhidmat hingga 30 Jun lalu.

Waytha menafikan mempunyai kuasa meluluskan geran itu ketika beliau sebagai menteri, atau ia berada pada Ketua Pengarah MITRA.

Beliau berkata, MITRA dibelenggu pelbagai isu membabitkan salah guna dana, termasuk kurangnya kebertanggungjawaban dan ketelusan, ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Halimah turut menafikan beliau dan ketua pengarah kementeriannya, mempunyai kuasa meluluskan permohonan dana daripada MITRA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.