Ahli Parlimen Lahad Datu sah keluar Warisan

Ahli Parlimen Lahad Datu sah keluar Warisan

Mohamaddin Ketapi yang juga ADUN Segama kini menyokong kepimpinan Perikatan Nasional.

Selain ‘mesra’ kepada GRS di peringkat negeri, beliau juga akan menjadi Ahli Parlimen Bebas di peringkat persekutuan, menurut Mohamaddin Ketapi.
KOTA KINABALU:
Warisan hilang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak selepas Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar parti hari ini.

Mohamaddin yang juga ADUN Segama itu mengumumkan keluar daripada parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tindakan itu dibuat selepas ADUN Sindumin Yusof Yacob mengumumkan keluar parti tiga minggu lalu iaitu pada 8 Okt.

Walaupun mendakwa mesra GRS di peringkat negeri, Mohamaddin berkata beliau hanya akan menjadi “Ahli Parlimen Bebas sepenuhnya di peringkat persekutuan.”

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu berkata kurangnya pembangunan di peringkat negeri dan Parlimen menjadi antara alasannya untuk keluar.

“Oleh itu, saya percaya keadaan ini akan berterusan jika terus kekal dalam blok pembangkang,” katanya kepada wartawan di sebuah hotel, di sini.

“Dengan ini, saya mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang mesra kepada kerajaan negeri.”

Mohammaddin berkata, beliau teringat janji kepada pengundi di DUN bahawa beliau akan membawa kemajuan ke kawasan itu termasuk mencadangkan untuk menaiktaraf Segama sebagai sebuah mukim.

“Tetapi untuk makluman, tidak ada apa-apa bentuk pembangunan, malah tandas awam pun,” katanya, sambil menambah ia sama untuk kawasan Lahad Datu apabila sepanjang lebih setahun beliau berkhidmat sebagai barisan pembangkang di peringkat persekutuan.

Beliau menegaskan walaupun menjadi seorang Ahli Parlimen Bebas, beliau akan memilih untuk mengundi dan menyokong inisiatif kerajaan persekutuan jika ia untuk kebaikan rakyat.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk memastikan sebarang usaha kerajaan untuk kepentingan negara dan rakyat secara umumnya berjaya,” katanya.

Keputusan Mohamaddin meninggalkan Warisan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini beliau dikhabarkan akan meninggalkan parti itu, walaupun beliau menafikan berlakunya rundingan.

Beliau adalah wakil rakyat ketiga meninggalkan Warisan selepas Yusof dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir pada 25 Feb. Tetapi beliau adalah Ahli Parlimen pertama yang keluar parti itu selepas pilihan raya umum 2018.

Dengan kerusi Bugaya, yang sebelum ini disandang parti, kosong sejak kematian penyandangnya Manis Muka, Warisan hanya tinggal 19 kerusi di peringkat DUN daripada 79 kerusi termasuk enam ADUN yang dicalonkan.

Warisan juga mempunyai tujuh Ahli Parlimen yang masih bersama parti itu, dengan kerusi Batu Sapi masih kosong sejak penyandangnya Liew Vui Keong meninggal dunia tahun lepas.

Sementara itu, Mohamaddin berkata beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang daripada Warisan memandangkan calon menandatangani surat taat setia kepada parti sebelum pilihan raya Sabah termasuk mengosongkan kerusi sekiranya mereka keluar parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.