Dua beradik gagal ketepikan hukuman mati bakal hadapi tali gantung

Dua beradik gagal ketepikan hukuman mati bakal hadapi tali gantung

Mahkamah Persekutuan memutuskan hakim perbicaraan telah mempertimbangkan kes pembelaan secukupnya sebelum mendapati mereka bersalah.

S Ramani Raxen dan abangnya Devendran didapati bersalah mengedar 339.3g heroin dan 140.4g monoacetylmorphine pada 20 Jun 2013. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Dua beradik bakal ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka kerana mengedar dadah, lapan tahun lalu.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan peguam bahawa rayuan terhadap sabitan berkenaan mempunyai sebarang merit.

Beliau yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal berkata, hakim perbicaraan turut membuat pertimbangan sewajarnya kes pembelaan.

Menurutnya, mahkamah tidak berpuas hati dengan hujahan bahawa wujud tindakan menyekat bukti atau kegagalan memanggil saksi pendakwaan tertentu, mahupun kegagalan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian.

“Malah, terdapat bukti langsung mengenai perbuatan jenayah itu,” katanya dengan menambah sabitan oleh mahkamah di akhir perbicaraan adalah selamat.

S Ramani Raxen, 38, dan Devendran, 40, didapati bersalah mengedar 339.3g heroin dan 140.4g monoacetylmorphine bersama dua yang masih bebas, di stesen minyak di Jalan Semenyih, Kajang, pada 11.20 pagi, 20 Jun 2013.

Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 7 April 2017, dengan sabitan itu disahkan Mahkamah Rayuan pada awal 2019.

Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi hadir bagi pihak dua beradik itu, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.