
Di Seremban, penduduk Kampung Ismail melaporkan paras air mencecah paras dada. Walaupun kebanyakan rumah dan jalan telah dibersihkan, trauma dan tekanan masih lagi membelenggu mangsa.
Ketua kampung Amran Othman berkata, beliau percaya komunikasi yang lemah menyebabkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan tertangguh.
Apabila siren amaran awal banjir dibunyikan beliau berkata, tebing sungai itu sudah pecah dan air mengalir deras ke bahagian kampung.

Amran berkata, penduduk kampung tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.
Katanya, lapan rumah rosak teruk dengan peralatan dan perabot turut musnah.
“Sebahagian penduduk warga emas adalah pesakit strok. Kerusi roda mereka rosak. Kami harap ada orang yang boleh bantu mereka.
“Kami juga memerlukan katil untuk beberapa penduduk yang sakit terlantar,” katanya kepada FMT.

Amran berkata, penduduk kampung akan cuba mendapatkan jaket keselamatan dan mungkin sebuah bot sekiranya kampung itu dinaiki air lagi.
“Kami faham pihak berkuasa juga perlu memberi tumpuan kepada kawasan lain, jadi kami akan melakukan apa sahaja yang kami mampu di pihak kami,” katanya.
Sementara itu, di Kampung Chennah di Jelebu, ketuanya Rosmadi Ariff atau lebih dikenali sebagai Tok berkata, empat lagi kampung di bawah pengawasannya termasuk dua petempatan Orang Asli Temuan, iaitu Kampung Tohor dan Kampung Dusun Kubur – turut terjejas teruk.
Beliau berkata, tiada penduduk kampung yang mengalami banjir sebegitu teruk dan kali terakhir kampung itu dinaiki air adalah pada tahun 1971, “tetapi ketika itu, air hanya paras lutut”.

Menurut Rosmadi, ketika banjir baru-baru ini, stesen siren banjir amaran awal yang dipasang oleh Jabatan Pengairan dan Saliran ditenggelami air.
“Kami harap ia boleh dibina semula di kawasan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana agensi kerajaan dan Pejabat Daerah datang membantu mereka sebaik sahaja banjir melanda.

“Kampung lain saya tak tahu, tetapi apa yang saya lihat di sini, setiap jabatan malah Pejabat Daerah turut membantu kami sehingga hari ini, kadang-kadang pada waktu malam pun.
“ADUN kita juga ada hantar lima buah lori, lima jentolak dan satu jengkaut untuk kita bersihkan kawasan terjejas,” katanya.