SPRM serbu ibu pejabat MARA

SPRM serbu ibu pejabat MARA

Serbuan dipercayai dijalankan bagi mendapatkan beberapa dokumen berkaitan skandal penyalahgunaan kuasa membabitkan lima pegawai kanan MARA.

Beberapa pegawai SPRM menyerbu ibu pejabat MARA yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira 10.30 pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini berhubung siasatan isu integriti dan penyalahgunaan kuasa membabitkan lima pegawai kanannya.

Beberapa pegawai SPRM dilihat menyerbu pejabat yang terletak di Menara MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman itu sekitar 10.30 pagi.

Serbuan dipercayai dijalankan bagi mendapatkan beberapa dokumen berkaitan isu itu sebelum keterangan pegawai MARA terbabit diambil.

Difahamkan pegawai SPRM turut memasuki dua bangunan lain yang mempunyai kaitan dengan MARA, iaitu MARA Corporation di kawasan yang sama dan syarikat setiausaha korporatnya, Prudenz CorporateHouse Sdn Bhd.

Ini susulan dakwaan salah laku membabitkan bayaran “undur tarikh” oleh lima pegawai MARA dalam satu program “persenyawaan silang”.

Tuduhan ini dibuat oleh akaun Twitter Edisi Khas, yang “mendedahkan” surat dalaman yang didakwa mengenai penyalahgunaan kuasa oleh pegawai.

Sementara itu, Pengerusi MARA Azizah Mohd Dun, berkata pengurusan MARA dan MARA Corporation sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan untuk disiasat SPRM.

“MARA sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

Pegawai-pegawai berkenaan menafikan mereka terbabit dan membuat laporan polis semalam.

SPRM kemudian dalam kenyataan berkata, ia akan memanggil beberapa individu daripada MARA untuk memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.