
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM1.2 juta membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua syarikat.
Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an tertabit ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi tadi.
“Lelaki terbabit yang kini berkhidmat di sebuah agensi kerajaan lain disyaki menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan berkenaan antara 2017 hingga 2018,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.
Katanya, suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam masa terdekat.