Tanah runtuh: Mangsa keempat, kelima ditemui meninggal dunia

Tanah runtuh: Mangsa keempat, kelima ditemui meninggal dunia

Polis berkata mangsa keempat ditemukan pada pukul 12.46 tengah malam manakala mangsa kelima dijumpai pada pukul 1.59 awal pagi ini.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan sehingga awal pagi tadi susulan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mangsa keempat dan kelima insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, telah ditemui dan disahkan meninggal dunia.

Kedua-kedua lelaki itu adalah korban ketiga dan keempat dalam insiden tersebut. Sebelum itu, seorang wanita warga emas dan seorang lelaki turut maut manakala seorang lelaki cedera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua mangsa adalah warga tempatan dengan seorang daripadanya merupakan pekerja Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata, mangsa keempat ditemui pada 12.46 tengah malam manakala mangsa kelima dijumpai pada 1.59 pagi ini.

Identiti kesemua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti, katanya.

“Oleh itu operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada awal pagi ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis akan membuat kawalan keselamatan selama 24 jam bagi memastikan barang-barang milik penghuni terjejas tidak hilang dan rumah mereka tidak diceroboh.

Farouk meminta penghuni yang rumahnya diceroboh membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya akan menggunakan Unit Anjing Pengesan K9 di tapak runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat.

“Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebilangan ahli pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam dilihat mula bersurai dari lokasi kejadian susulan penemuan kesemua lima mangsa.

Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan juga mula mengemas khemah rawatan khas susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis kira-kira 2 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.