Sah…Onn Hafiz MB Johor ke-19

Sah…Onn Hafiz MB Johor ke-19

Majlis angkat sumpah Menteri Besar itu diadakan di Istana Bukit Serene di sini.

JOHOR BAHRU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi sebentar tadi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Majlis angkat sumpah Menteri Besar itu diadakan di Istana Bukit Serene di sini.

Ia sekaligus menjawab spekulasi bertebaran sebelum ini berhubung pelantikan Menteri Besar baharu Johor itu selepas Barisan Nasional (BN) diisytiharkan memenangi pilihan raya negeri, pada Sabtu.

Spekulasi itu menyusul selepas gesaan ADUN Benut, Hasni Mohammad, semalam, supaya BN memilih orang muda untuk memimpin Johor, walaupun beliau sebelum ini diangkat sebagai calon MB parti berkenaan.

Sehingga semalam, dilaporkan tiada makluman rasmi mengenai upacara mengangkat sumpah Menteri Besar, selepas hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan.

Onn Hafiz, 43, dilihat pemimpin muda berwibawa di negeri itu. Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, beliau menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

Anak saudara kepada Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno itu, berkecimpung dalam dunia politik dengan menyertai Pemuda Umno Sembrong pada 2006.

Selepas pertukaran kerajaan dan Hasni menerajui Johor pada Feb 2020, Onn Hafiz dilantik sebagai Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.