Disyaki bantu syarikat isteri jadi sub kontraktor, bekas pengurus GLC ditahan

Disyaki bantu syarikat isteri jadi sub kontraktor, bekas pengurus GLC ditahan

Suspek dipercayai menggunakan jawatannya untuk membantu syarikat isterinya dilantik sebagai sub kontraktor pengangkutan membabitkan nilai kerja kira-kira RM80,000.

Lelaki berusia 30-an itu yang difahamkan kini bertugas sebagai pengurus di syarikat milik isterinya, ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 2 petang tadi.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.

Lelaki berusia 30-an itu dipercayai menggunakan jawatannya untuk menyokong sebuah syarikat yang dilantik melakukan kerja mengangkut bahan mentah komoditi.

Menurut sumber, suspek melakukan perbuatan itu pada Ogos 2019 sebagai balasan membantu syarikat milik isterinya dilantik sebagai sub kontraktor pengangkutan membabitkan nilai kerja keseluruhan kira-kira RM80,000.

Difahamkan, suspek yang kini bertugas sebagai pengurus di syarikat milik isterinya, ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 2 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.