
Antara individu yang mengesahkan penyertaan mereka adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; bekas ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Calon lain adalah Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas timbalan pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran, ADUN Sentosa, G Gunarajah; bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; bekas naib presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub; bekas naib ketua Pemuda PKR, S Thiban; ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan ADUN Bukit Selambau, R Summugam.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Zaliha Mustafa berkata, jumlah calon untuk jawatan tertinggi belum dimuktamadkan.
“Kerana semua pencalonan tersebut masih menunggu kelulusan JPP dan proses pencalonan bagi pimpinan utama MPP hanya ditutup pada 11.59 malam ini,” katanya di Ibu Pejabat PKR.
Terdahulu, Fahmi ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonannya berkata, pemilihan kali ini penting untuk membersihkan parti itu daripada tragedi “Langkah Sheraton”.
“Sekiranya saya dipilih, (fokus utama) untuk mengukuhkan struktur parti dan memastikan apa yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’ itu bukan sahaja kita bersihkan, tetapi kita bina lebih baik daripada dulu,” katanya di Ibu Pejabat PKR.
Mengenai kelebihan calon naib presiden, Fahmi berharap khidmatnya sebagai pengarah komunikasi PKR dapat membantu meraih sokongan akar umbi.
“Ya…(untuk) naib presiden, ramai yang berminat untuk tawarkan diri, saya bersikap terbuka.
“Saya lihat memang cabarannya ada, tetapi saya percaya khidmat sebagai pengarah komunikasi PKR dapat bantu saya untuk meraih sokongan daripada akar umbi,” katanya.
Pemilihan parti kali ini turut termasuk enam jawatan tertinggi, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden dan kepimpinan tertinggi sayap PKR serta bahagian.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan akan terus mempertahankan jawatan itu bagi penggal 2022 hingga 2025, yang sehingga kini tidak berdepan cabaran daripada calon lain.
Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan saingan antara Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli setakat ini.
Pencalonan MPP secara hibrid berakhir 6 petang ini untuk pencalonan secara fizikal dan dalam talian menerusi aplikasi Adil pada 12 tengah malam ini.
Ia akan diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April, sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April nanti.