
Ini selepas dia dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.
Peguamnya, Faizal Mokhtar, memberitahu FMT bahawa kedua-dua notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan hari ini melalui sistem e-filing mahkamah.
Katanya, perakuan segera juga telah difailkan hari ini.
Faizal berterima kasih kepada orang ramai atas sokongan yang ditunjukkan kepada kerani berusia 27 tahun itu.
Semalam, Sam turut diperintahkan menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi sekiranya gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun.
Peguam Sam memohon penangguhan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Rayuan, namun hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar, menolak permohonan itu dan memerintahkan Sam menjalani hukumannya semalam.
Sam yang dikenakan tuduhan mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017, dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri atas pertuduhan dihadapi.
Bagaimanapun, pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret di Johor Bahru, sekali lagi membebas dan melepaskan tertuduh.
Susulan itu, pihak pendakwaan sekali lagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.