Warga Kanada didenda RM800 kerana tunjuk isyarat lucah, tak pakai pelitup muka

Warga Kanada didenda RM800 kerana tunjuk isyarat lucah, tak pakai pelitup muka

Theberge Travis Lee, 44, mengaku bersalah atas 2 tuduhan mengikut Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Theberge Travis Lee dirakam menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengawal keselamatan selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini mendenda seorang lelaki warga Kanada RM800 kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah pasar raya dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan.

Majistret S Mageswary mengenakan denda itu selepas Theberge Travis Lee mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Bagi tuduhan pertama bawah Akta Kesalahan Kecil, Travis Lee dituduh tidak menghormati pengawal keselamatan pasar raya itu dengan menunjukkan “jari tengah” kepadanya.

Kejadian berlaku di Village Grocer M-City, Jalan Ampang, pada 16 April.

Travis Lee turut didakwa atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di pasar raya itu.

Semasa mitigasi, peguam Travis Lee, Jayananda Rao memberitahu mahkamah bahawa tertuduh ingin memohon maaf atas kejadian itu.

“Ia sememangnya kelakuan yang bodoh dan melulu. Dia berjanji tidak akan melakukannya lagi,” tambahnya.

Jayananda turut berkata, Travis Lee memberi kerjasama semasa siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pencegahan ke atas Travis Lee.

Minggu lepas, polis menahan lelaki berusia 44 tahun itu kerana memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit selepas ditegur tidak memakai pelitup muka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.