
Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata jika ranking dikeluarkan pihak lain, itu di luar bidang kuasa kementeriannya.
“Kami tidak dapat halang pihak lain di luar sana berusaha keras untuk dapatkan maklumat mengumpul sebarang ranking, tetapi KPM tak pernah keluarkan sebarang ranking keputusan SPM,” katanya selepas pengumuman Anugerah Sastera Negara Ke-15.
Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Noor Azlan Ghazali, bahawa KPM perlu menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.
Azlan berkata, sistem tersebut merupakan kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.
“Saya tidak tahu Noor Azlan dapat dari mana maklumat tersebut, untuk makluman KPM tidak pernah keluarkan sebarang ranking untuk keputusan SPM. Boleh semak bahawa tahun-tahun sebelum ini pun memang tidak ada ranking yang dikeluarkan KPM,” katanya.
Radzi berkata, pihak terbabit disaran menyemak fakta sebelum membuat sebarang ulasan kerana ia memberi kesan mendalam kepada keseluruhan sistem.
“Kita lihat hari pengumuman pun tiada disebut dalam laporan media namun ada pihak di luar sana ambil inisiatif mengeluarkan susun semua. Itu di luar bidang kementerian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM tidak mempunyai sebarang perancangan mengkaji semula mata pelajaran sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
Bagaimanapun, Radzi berkata, kementerian itu akan melihat punca kegagalan calon SPM dalam subjek tersebut pada peperiksaan tahun lalu.
“Kita akan lihat apakah faktor penyumbang kepada keputusan tersebut dan mencari satu pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah.
“Kita akan pastikan pada masa akan datang jumlah pelajar yang gagal mata pelajaran ini dapat kita kurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Radzi turut menafikan wujud campur tangan menteri dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara Ke-15.
Beliau menegaskan, pihaknya menghormati kepakaran semua ahli panel dalam memilih, melihat dan mengkaji pelbagai bentuk karya yang dikeluarkan calon.
“Itu menteri dulu…Menteri kali ini tidak ada campur tangan. Semua gembira dengan keputusan dibuat dan secara peribadi saya setuju,” katanya.
Terdahulu, penyair terkemuka, Rahman Shaari, dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran sasterawan negara.
Perkara itu diumumkan Radzi di kementeriannya.
Radzi berkata, anugerah tersebut dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.