Elaun bulanan warden asrama naik 25%, bilangan ditambah, kata Radzi

Elaun bulanan warden asrama naik 25%, bilangan ditambah, kata Radzi

Menteri kanan pendidikan berkata, kenaikan itu menjadikan kadar baharu elaun bagi ketua warden ialah RM350 manakala RM300 untuk warden yang akan berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Jidin berkata, bilangan warden asrama juga ditambah daripada 6,055 kepada 9,868 orang.
PETALING JAYA:
Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Jidin mengumumkan kenaikan elaun bulanan sebanyak 25% bagi warden asrama di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Radzi berkata, kenaikan itu menjadikan kadar baharu elaun bagi ketua warden ialah RM350 manakala RM300 untuk warden.

“Kali terakhir kadar ini disemak ialah pada 1997. Saya ingin mengumumkan ia akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos ini,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya.

Pada masa sama, Radzi juga mengumumkan pertambahan bilangan warden asrama daripada 6,055 kepada 9,868 orang.

Katanya, ini merupakan peningkatan 63% atau 3,813 jumlah warden dan implikasi kewangan bagi kedua-dua pertambahan ini melibatkan peruntukan hampir RM19 juta.

“Ia adalah implikasi kewangan tambahan dalam konteks penambahbaikan yang akan dilaksanakan,” katanya selain menjelaskan wa bahaKPM sentiasa berusaha menambah baik portfolio warden asrama di 1,874 buah sekolah berasrama bawah kementerian itu

Beliau berkata, dengan peningkatan jumlah warden asrama itu, maka penggiliran jadual bertugas warden akan dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama bawah KPM.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak KPM untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan atas kelulusan yang diberikan kepada KPM bagi kedua-dua penambahbaikan ini.

“Pada masa sama, KPM akan terus berusaha menambah baik portfolio warden asrama di sekolah asrama bawah KPM,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.