Harga purata bar keluli melonjak 15.9% bulan lalu, kata Jabatan Perangkaan

Harga purata bar keluli melonjak 15.9% bulan lalu, kata Jabatan Perangkaan

Purata harga seunit besi terdiri bar bulat keluli lembut dan mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ melonjak 15.9% dengan harga purata bar keluli pada RM3,897.11 satu tan daripada RM3,362 satu tan pada Jun tahun lalu.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata selain keluli harga simen juga mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2%  pada Jun 2022 dengan RM21.0.5/50kg berbanding RM18.66/50kg pada Jun 2021. (Gambar Bernama) 
KUALA LUMPUR:
Purata indeks kos binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Malaysia meningkat pada Jun 2022 berbanding Jun 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ melonjak 15.9 peratus dengan harga purata bar keluli pada RM3,897.11 satu tan daripada RM3,362 satu tan pada Jun tahun lepas.

“Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2%  pada Jun 2022 dengan RM21.0.5/50kg berbanding RM18.66/50kg pada Jun 2021.

“Bagaimanapun, kenaikan harga kedua-dua bahan ini adalah lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya. Harga kebanyakan bahan binaan seperti papan lapis, kayu, kaca, batu bata dan dinding, bahan bumbung dan bahan siling juga mencatatkan kenaikan,” katanya dalam kenyataan mengenai IKB bagi Jun 2022.

Uzir berkata harga purata bahan binaan yang dinyatakan di dalam IKB merujuk kepada harga purata yang terdapat di premis yang menjual bahan binaan.

IKB juga meningkat di Semenanjung Malaysia antara 5.5% dan 18.9%, Sabah (antara 0.3% dan 15.8%) dan Sarawak (antara 6.0% dan 23.3%)

“IKB dengan bar keluli untuk semua kawasan di Malaysia turut mencatatkan kenaikan bagi semua kategori bangunan. Kategori bangunan yang merekodkan kenaikan tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah bangunan (konkrit bertetulang) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi 1 tingkat (menara sahaja) di Kota Kinabalu. Sementara itu, IKB tanpa bar keluli tertinggi di Sarawak adalah kerangka besi 1 tingkat (bangunan) di Miri,” katanya.

Perbandingan mengikut kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan IKB tanpa bar keluli meningkat di antara 5.5% dan 13.2% untuk semua kategori bangunan, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Pahang, diikuti oleh bangunan (konkrit bertetulang) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Terengganu dan Kelantan.

Uzir berkata indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 4.4% hingga 18.5%, indeks harga bagi seunit besi serta keratan keluli dan logam telah meningkat masing-masing sebanyak 18.5% dan 16.2% bagi tempoh tersebut manakala indeks harga bagi seunit simen telah meningkat 12.5% pada Jun 2022 berbanding Jun 2021.

“Dalam konteks item dan kawasan, peningkatan tertinggi bagi kawasan di Semenanjung Malaysia adalah keratan keluli dan logam yang dicatatkan di Perak (29.8%) diikuti besi di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (28.5%) dan keratan keluli dan logam di Pahang (28.3%),” katanya.

Sementara itu, indeks harga bagi seunit bahan binaan tertinggi di Sabah adalah barang besi di Kota Kinabalu (32.7%) manakala di Sarawak pula adalah besi di Miri (40.0%) dan kaca di Kuching (23.4 %).

Bagi perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih pula keratan keluli dan logam serta cat di Pahang masing-masing melonjak 3.9% (Mei 2022: 3.2%) dan 2.9% (Mei 2022: 2.4%).

Bahan binaan jubin lantai dan dinding di Terengganu dan Kelantan naik 3.9% (Mei 2022: 4.0%), batu baur juga menunjukkan peningkatan bagi hampir ke semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bagaimanapun bahan binaan lain di beberapa kawasan kekal tidak berubah.

Selain itu, Jabatan Perangkaan berkata semua kawasan mencatatkan perubahan indeks bagi kayu iaitu 1.3% berbanding 0.5% pada Mei 2022.

Perubahan indeks ini berlaku akibat kenaikan harga kayu yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Mac 2022 disebabkan pengurangan terhadap aktiviti pembalakan yang berpunca daripada keadaan cuaca semasa yang menyukarkan aktiviti pembalakan.

Menurut laporan daripada World Steel Association (WSA), pengeluaran keluli mentah dunia bagi 64 buah negara adalah sebanyak 169.5 juta tan pada Mei 2022, dengan penurunan sebanyak 3.5% berbanding Mei 2021.

Walaupun ketidaktentuan yang disebabkan oleh peperangan di Ukraine dan pelaksanaan sekatan perjalanan di China, permintaan keluli global diunjurkan akan meningkat pada 2022 dan 2023, penggunaan keluli global dijangka meningkat kepada 1.84 bilion tan (0.4%) pada 2022 manakala pada 2023, permintaan keluli dijangka meningkat 2.2% kepada 1.88 bilion tan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.