
Katanya, kerajaan negeri sedaya upaya berusaha memulihkan semula ekonomi Sabah menerusi inisiatif yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Beliau berkata, beberapa kejayaan signifikan telah Sabah kecapi, antaranya pada 2021, kerajaan negeri berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah.
“Terdapat banyak lagi pencapaian kerajaan yang akan memanfaatkan rakyat Sabah secara keseluruhannya, dalam soal membangunkan negeri ini, masih banyak yang perlu kita lakukan”, katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha.
Hajiji berkata, Aidiladha adalah hari kebesaran yang disambut umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar.
Katanya, kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan anakanda Nabi Ismail menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Beliau berkata, bagi umat Islam di Sabah, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam aspek ekonomi selepas penularan pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.
“Justeru, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail sebagai pedoman untuk kita memahami erti pengorbanan sebenar dalam menghadapi apa juga cabaran.
“Sesungguhnya, ibrah daripada setiap cabaran dan ujian ini menuntut pengorbanan kita semua untuk bangkit, bermuafakat dan bersemangat”.
“Raikanlah Aidiladha bersama ibu bapa dan keluarga secara bersederhana dan sentiasalah menjaga kawalan kendiri,” katanya.