
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR Batu Muhd Sabda Suluh Lestari Yahya dan aktivis pelajar Aliff Naif Mohd Fizam menganjurkan tiga perhimpunan berasingan.
Hasbie mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Menurut tuduhan, Hasbie gagal memaklumkan polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek, Kampung Baru, pada 1 Julai, yang disifatkan sebagai kesalahan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman.
Hasbie dibenarkan diikat jamin RM3,000. Majistret menetapkan 22 Sept ini untuk sebutan kes.
Di Mahkamah Majistret lain, Sabda mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Azahra Arifin atas tuduhan sama berhubung protes diadakan di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada 9 Julai lalu.
Dia dibenarkan ikat jamin RM7,000. Mahkamah menetapkan 28 Sept untuk sebutan kes.
Di Mahkamah Majistret 9, Aliff mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama berhubung protes di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada 23 Julai.
Aliff, wakil kesatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dibenarkan ikat jamin RM3,000 oleh Majistret S Mageswary.
Mahkamah menetapkan 21 Sept untuk sebutan kes.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000.
Sementara itu, Exco Pemuda PKR, P Prabakaran, berkata tindakan polis terhadap ketiga-tiga individu terbabit bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh mengenai hak kebebasan bersuara serta hak menubuhkan persatuan.
“Jika bersuara untuk rakyat menjurus kepada seseorang itu didakwa, saya pasti lebih ramai belia akan tampil mempersoalkan kerajaan ini.
“Akta Perhimpunan Aman 2012 sering dijadikan alasan untuk mendiamkan aktivis,” katanya.