Peguam Negara digesa semak bahagian laporan LCS yang disunting

Peguam Negara digesa semak bahagian laporan LCS yang disunting

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata jika ia tidak disemak Peguam Negara Idrus Harun sekurang-kurangnya perlu menjelaskan mengapa bahagian laporan itu disunting.

Dua laporan mengenai kelewatan penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) telah dinyahklasifikasikan walaupun beberapa bahagian disunting.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Peguam Negara Idrus Harun menyemak bahagian yang disunting dalam dua laporan berhubung projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, jika Idrus memilih untuk tidak menyemak bahagian yang telah disunting, beliau sekurang-kurangnya perlu menjelaskan mengapa bahagian laporan tersebut disunting.

“Perkara ini perlu dibuat untuk menunjukkan yang kerajaan kini bertindak mengikut norma tadbir urus yang baik dan tidak bertindak sewenang-wenangnya,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah bahawa kegagalan untuk mematuhi norma tadbir urus yang baik menyebabkan skandal itu berlaku.

Lim juga berkata, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein harus menjelaskan kepada Parlimen bagaimana kementerian telah melaksanakan cadangan dalam kedua-dua laporan mengenai skandal LCS itu.

Putrajaya telah menyahklasifikasi laporan jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan mengenai projek itu, manakala Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) juga telah mengumumkan laporan audit forensiknya kepada umum mengenai kelewatan penyerahan kapal.

BHIC ialah pemegang saham utama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), kontraktor Kementerian Pertahanan untuk membina enam frigat dalam program LCS.

Pada Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai projek itu, mencetuskan tindak balas terhadap Barisan Nasional (BN) dan pemimpin lain yang berada dalam kerajaan pada masa itu.

Pada akhir bulan itu, Pengarah Urusan BNS, Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.