
PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga bekas penghuni sebuah madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam yang didakwa didera ‘ala militan’ sepanjang empat bulan berada di pusat itu.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada lelaki terbabit, bulan lalu.
Katanya, berikutan itu polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan dibuat lelaki tersebut terhadap pusat itu, lapor Bernama.
Terdahulu, Pertubuhan Kebajikan Darussolihin dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan madrasah tersebut yang ditubuhkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan penderaan ala militan kepada penghuninya.
Menurutnya, selain menekankan ilmu agama, madrasah ditubuhkan sejak 2007 melaksanakan program pemulihan dan perlindungan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial.
Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan bekas penghuni madrasah tersebut yang ingin dikenali sebagai Haris, 20, yang mendakwa dia bersama beberapa penghuni lain dikurung dalam bilik gelap.
Dakwanya lagi, mereka terdiri penghuni berusia 19 hingga 30-an itu turut didera secara fizikal dan mental serta mengalami gangguan seksual sepanjang menerima rawatan di madrasah itu.