PRU15: GTA umum agihan kerusi selepas Parlimen bubar

PRU15: GTA umum agihan kerusi selepas Parlimen bubar

Ketua penerangan GTA memberitahu ketika ini gabungan itu sedang melengkapkan organisasi di peringkat negeri.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 120 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
PETALING JAYA:
Gerakan Tanah Air (GTA) memutuskan agihan kerusi antara parti komponen hanya akan dibuat selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Ketua Penerangan GTA, Nizam Mahshar, berkata ketika ini fokus utama gabungan berkenaan ialah melengkapkan organisasi di peringkat negeri selepas pembentukannya di peringkat nasional.

Katanya, tarikh PRU15 masih menjadi tanda tanya dan Umno masih dalam keadaan tidak bersedia dan ada percanggahan pendapat tentang pilihan raya.

“Jadi kita ambil pendekatan tunggu dan lihat bila tarikh pilihan raya.

“Selepas itu, barulah GTA akan umumkan agihan kerusi antara komponen yang ada. Secara dasarnya sasaran sudah ada iaitu 120 kerusi Parlimen. Jadi kita akan lihat dan tapis calon yang layak,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau mengulas mengenai persediaan GTA menjelang PRU15 yang dijangka diadakan tahun ini selepas mengambil kira perkembangan politik semasa yang mahu mandat rakyat dikembalikan.

Spekulasi tarikh PRU15 semakin hangat susulan beberapa perkembangan yang menguatkan kemungkinan pembubaran Parlimen akan berlaku termasuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mahu pilihan raya diadakan tahun ini.

Menguatkan lagi spekulasi PRU15 diadakan pada tahun ini apabila perdana menteri mengadakan perbincangan dengan ketua polis negara, peguam negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama hampir lima jam kelmarin.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, GTA meletakkan kriteria pemilihan calon yang ketat bagi memastikan individu yang dipilih mewakili parti terdiri daripada mereka yang berwibawa dan tidak terpalit dengan isu-isu integriti dan penyelewengan.

Dalam pada itu katanya, semua parti komponen, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli gabungan sudah bersetuju untuk menggunakan logo GTA dalam PRU15 dan ketika ini ia masih dalam proses permohonan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPP).

“Kita harap tidak ada campur tangan mana-mana pihak berhubung permohonan GTA kepada JPP. Segala dokumen dan butiran yang diminta oleh jabatan itu sudah diberikan dan kita harap dapat kelulusan dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.