Ibu patah gigi ditampar, ditendang anak ‘lalok’ dadah

Ibu patah gigi ditampar, ditendang anak ‘lalok’ dadah

Polis berkata suspek menampar kedua-dua belah pipi ibunya sehingga patah gigi selain menendang mangsa sebanyak dua kali.

Polis berkata warga emas itu diperlakukan sedemikian oleh anak lelakinya yang disyaki berada bawah pengaruh dadah. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang anak dipercayai bawah pengaruh dadah bertindak menampar ibunya berusia 68 tahun sehingga patah gigi, dalam kejadian di sebuah kampung di Padang Terap, Kedah.

Dalam kejadian 6.30 petang Khamis lalu, warga emas itu turut ditendang anak lelakinya yang berusia lingkungan 30-an.

Difahamkan, kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek yang berang selepas dia bertanya jumlah anak dimiliki mangsa sebelum wanita terbabit menjawab yang dia mempunyai empat anak.

Ketua Polis Padang Terap, Mulkiaman Manzar, berkata ketika berada di dapur di rumah mereka, suspek bertanyakan berapa jumlah anak ibunya.

“Sebaik ibunya menjawab soalan itu, suspek terus menampar pipi kiri wanita terbabit membuatkan mangsa terus ke bilik tidur.

“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati mengekori ibunya hingga ke bilik tidur dan menampar kedua-dua pipi wanita berkenaan sehingga patah gigi bawah selain turut menendang mangsa sebanyak dua kali,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

“Susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan suspek serta mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal, mangsa mendakwa dia sering diperlakukan demikian oleh suspek dan mengesyaki anaknya bertindak demikian kerana bawah pengaruh dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.