Peguam puji cadangan ‘timbang tara mampu milik’

Peguam puji cadangan ‘timbang tara mampu milik’

Ia alternatif yang lebih murah kepada proses syariah dan sivil sedia ada dan dapat membantu mengurangkan kes tertunggak, kata mereka.

Menerusi timbang tara mampu milik, seseorang yang mempunyai kepakaran boleh diminta untuk menyelesaikan pertikaian secara pro bono atau dengan bayaran nominal. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua peguam mengalu-alukan cadangan seorang pesara hakim mengenai “timbang tara mampu milik” dan berkata, pendekatan ini boleh membantu mengurangkan kes syariah dan sivil tertunggak.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir dan peguam sivil veteran Bastian Pius Vendargon berkata, timbang tara mampu milik ialah alternatif yang lebih murah kepada proses syariah dan sivil sedia ada.

Konsep itu ialah cetusan idea bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Ideanya adalah mewujudkan timbang tara oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam subjek sedang dibincangkan. Mengikut amalan semasa, hanya peguam dan hakim bersara bertindak sebagai penimbang tara.

“Sebagai contoh, pakar bedah boleh menimbang tara dalam kes kecuaian perubatan, bukannya hakim,” kata Vendargon.

“Timbang tara ialah prosiding yang lebih mudah dan boleh dilakukan dalam tempoh singkat.”

Beliau berkata, penimbang tara boleh menyelesaikan pertikaian secara pro bono atau dengan bayaran nominal.

Ia akan memakan kos yang tinggi jika pertikaian melalui proses mahkamah kerana pihak terlibat perlu menghubungi peguam dan membayar kos, katanya kepada FMT.

Salim yang menyifatkan idea itu sebagai “bijak dan boleh dilaksanakan”, berkata ia selaras dengan peruntukan dalam Akta Timbang Tara.

“Ini adalah alternatif kepada proses perbicaraan, yang mungkin meleret-leret dan mahal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.