Perlu ketengah muka baharu demi parti, kata Anwar

Perlu ketengah muka baharu demi parti, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pengguguran beberapa penyandang adalah keputusan yang tidak dapat dielakkan.

Anwar Ibrahim menasihatkan calon baharu itu supaya tidak mementingkan diri sendiri kerana mereka mempunyai tugas untuk dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, keputusan sukar perlu dibuat untuk melepaskan orang lama dalam PKR bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Tambahnya, ia tidak dapat dielakkan kerana menjadi “lumrah” dalam merangsang proses pembaharuan parti.

“Kami terpaksa menggugurkan mereka yang hebat dan kawan baik, menggantikan mereka dengan orang baharu yang mempunyai rekod prestasi yang juga hebat.

“Tetapi saya mesti katakan kepada mereka yang dicalonkan, jangan terlalu memikirkan diri sendiri. Anda mempunyai tugas anda,” katanya sebelum pengumuman mengenai calon PKR di Ampang malam tadi.

Sebanyak 72 calon PKR bagi kerusi Parlimen di Semenanjung diumumkan malam tadi, terdiri 11 calon di Johor, Selangor (10), dan masing-masing lapan di Kedah dan Perak.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli kembali ke kerusi Parlimen Pandan yang dimenanginya pada 2013. Penyandangnya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.

Nurul Izzah akan mempertahankan Permatang Pauh, kerusi yang disandang keluarga sejak 1982, manakala Anwar Ibrahim menentang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu di Tambun.

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari akan bertanding di Gombak, di mana beliau berkemungkinan berdepan bekas sekutu partinya dan penyandang Azmin Ali, yang kini bersama Bersatu.

Exco Selangor tiga penggal Rodziah Ismail akan bertanding di Ampang, yang berkemungkinan berhadapan penyandang Zuraida Kamaruddin, bekas pemimpin PKR. Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun telah dipilih untuk Port Dickson, menggantikan Anwar, yang memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil pada 2018.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek akan ditempatkan di Nibong Tebal, yang kini disandang oleh seorang lagi bekas wakil PKR dan timbalan menteri, Mansor Othman.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mempertahankan Kulim-Bandar Baharu dan Fahmi Fadzil akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Di Kelantan, ketua Pakatan Harapan negeri Husam Musa adalah calon Pasir Mas, manakala di Perak, Nik Omar Nik Aziz akan bertanding di Pasir Salak. Beliau adalah anak kepada Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat.

Antara penyandang yang digugurkan daripada pemilihan kali ini ialah Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye (Gopeng), R Sivarasa (Sungai Buloh), Chan Ming Kai (Alor Setar), dan Tan Yee Kew (Wangsa Maju).

Sementara itu, Anwar berkata calon PKR untuk Sabah akan diumumkan pada 31 Okt, dan Sarawak, pada 1 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.