Berpakaian seperti wanita, 20 lelaki ditahan di pusat hiburan KL

Berpakaian seperti wanita, 20 lelaki ditahan di pusat hiburan KL

Polis berkata, semua warga tempatan berusia 22 hingga 34 tahun itu dilepaskan dengan bon jaminan selepas siasatan selesai.

Dua puluh lelaki ditahan menerusi Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di ibu negara semalam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seramai 20 lelaki yang berpakaian dan berlagak seperti wanita ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) menerusi serbuan Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya bagaimanapun berkata, semua lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 34 tahun itu dilepaskan dengan bon jaminan selepas siasatan selesai.

Beliau berkata, 20 warga tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

“Selain itu, operasi yang dijalankan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun kerana positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.

“Dua lelaki berkenaan direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 10 malam itu, 62 pengunjung premis terbabit diperiksa, melibatkan 53 lelaki dan sembilan wanita berusia 19 hingga 57 tahun.

“Polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.