Zahid jamin ahli politik BN takkan dilantik ketuai SPRM

Zahid jamin ahli politik BN takkan dilantik ketuai SPRM

Pengerusi BN berkata, komitmen itu signal jelas mereka dalam usaha membanteras rasuah dan persepsi rasuah di dalam gabungan itu serta masyarakat.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghapusan rasuah akan menjadi komitmen BN, bukannya retorik semata-mata, apabila SPRM diperhebat dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan siasatan lebih menyeluruh.
BAGAN DATUK:
Barisan Nasional (BN) tidak akan melantik wakil rakyat atau ahli politiknya mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apabila berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, komitmen itu signal jelas mereka dalam usaha membanteras rasuah dan persepsi rasuah di dalam gabungan tersebut serta masyarakat.

“Apabila BN menjadi kerajaan kuat (selepas PRU15), kita akan ambil tindakan kepada sesiapa saja, termasuk dari BN atau mana-mana parti yang melakukan korupsi.

“Itu saya jamin. Kita akan pastikan anggapan itu (BN penuh rasuah) tidak benar, apabila tidak melantik ketua pesuruhjaya SPRM dalam kalangan ahli politik. Badan itu akan betul-betul bebas. Tiada pilih bulu dalam tindakan terhadap mereka,” katanya.

Zahid yang juga penyandang Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas menemui masyarakat Cina di Hutan Melintang di sini.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Azmin Ali dilapor mempersoalkan bagaimana BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk kerajaan bersih, sedangkan terdapat calon pilihan raya gabungan itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Zahid berkata, penghapusan rasuah akan menjadi komitmen BN, bukannya retorik semata-mata, apabila badan itu diperhebat dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan siasatan lebih menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.